Semasa

Alamat penghantaran tak perlu terlalu detail dan panjang

Dalam bisnes secara atas talian, alamat penghantaran adalah antara komponen yang sangat penting yang membolehkan produk jualan dihantar kepada pembeli. Kalau salah alamatnya, maka tak sampailah barang yang dibeli.

Sehinggakan ada pembeli yang terlalu risau tidak dapat menerima barang belian, memberikan alamat yang sangat panjang dan rumit bagi memastikan barang yang dibeli mesti boleh sampai ke lokasi yang dikehendaki.

Ini 5 tips bagaimana untuk menghasilkan alamat penghantaran yang pendek, jelas dan mudah difahami.

1. Fahami struktur alamat

Nombor rumah > Nama jalan > Nama kampung/perumahan/taman > Poskod > Daerah > Negeri.

Selain daripada struktur ini rasanya boleh abaikan sahaja kerana struktur ini seharusnya sudah memadai untuk memberi penunjuk arah yang tepat ke lokasi anda.

2. Tak perlu no. rumah jika tak boleh akses

Kalau anda tinggal di kondominium dengan sistem sekuriti, dan akses paling dalam hanyalah di pondok keselamatan sahaja, abaikan no. rumah, blok & tingkat rumah anda. Bandingkan.

  1. Lot 4-15, Tingkat 4, Blok D, Apartment Seri Rampai…
  2. Pondok Pengawal, Apartment Seri Rampai…

3. Singkatkan nama institusi/pejabat jika boleh

Jika institusi/pejabat tempat anda bekerja cukup popular, gunakan sahaja singkatannya. Bandingkan.

  1. Kolej Perindu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam…
  2. Kolej Perindu, UiTM Shah Alam

4. Jika institusi dikenali umum, abaikan maklumat lain

Carian LHDN Bangi hanya akan menemukan 1 lokasi sahaja. Satu-satunya di Bangi. Tak mungkin kurier akan terlepas lokasi tersebut; terjumpa LHDN lain. Bandingkan.

  1. Inland Revenue Board (IRB), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Bangi, No 3, Jalan 9/10, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
  2. LHDN Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

5. Guna singkatan perkataan (pilihan terakhir)

Sekiranya anda sudah sedaya upaya memendekkan alamat anda tetapi tetap juga panjang, jalan terakhir adalah dengan menggunakan singkatan yang mudah difahami.

  1. Tingkat 5 –> Tgkt. 5
  2. Pejabat Maritim –> Pjbt. Maritim
  3. Kampung Chohong –> Kg. Chohong
  4. Apartment Desa Murni –> Apt. Desa Murni
  5. Sekolah Kebangsaan Sungai Putat –> SK Sg. Putat

Kami gembira jika panduan ini membantu anda dan sebagai peniaga, kami terlebih lagi gembira jika tips ini dimanfaatkan, kerana ia pasti akan lebih memudahkan dan melancarkan urusan kami setiap hari untuk mencatat alamat penghantaran anda.